Album Mengadap Rebab tertangguh 18 tahun dilancar Mac ini
Danny bersama Abdul Rahman (tiga, kanan) berbincang sesuatu dengan pendukung budaya yang terlibat dalam pembikinan album Mengadap Rebab dalam satu perjumpaan di Kampung Morak.
TUMPAT – Sebuah album yang tertangguh selama 18 tahun, hasil gabungan tenaga pendukung budaya di Kampung Morak di sini, dijangka bakal dilancarkan Mac depan.

Album bertajuk Mengadap Rebab yang mengandungi lagu seni warisan Kelantan tersebut, memuatkan 25 lagu rakyat Kelantan, antaranya lagu bertabuh wayang kulit, bertabuh Mak Yong dan Orang Darat.

Kebanyakan lagu berkenaan sering didengar ketika persembahan wayang kulit, Mak Yong, Menora, Main Puteri dan Tarik Selampit.

Atas dasar lagu seni warisan sebegini makin dilupakan, penyanyi Danny X Factor atau nama sebenarnya, Danny Anwa anak kelahiran Pasir Mas, menjejak kembali pendukung budaya terbabit untuk pelancaran album itu nanti.

Danny berkata, rakaman album Mengadap Rebab ini dilakukan tahun 1995, namun disebabkan masalah tertentu ia tertangguh.

Katanya selaku Penerbit Eksekutif, dia ke Kampung Morak, kelmarin, untuk menjejaki individu terbabit dalam pembikinan album Mengadap Rebab, namun ada daripada mereka sudah meninggal dunia.

“Saya menjejaki mereka untuk memperkemaskan apa yang patut, sebelum album ini dilancarkan, dijangka pada Mac ini di Kuala Lumpur,” katanya.

Dia berkata demikian pada majlis Hari dan Malam Memperingati Tokoh-tokoh Budaya di Tumpat di Kampung Morak, Tumpat.

Turut hadir, Pengarah Muzium Kelantan, Abdul Rahman Abdullah.

Danny berkata, album tersebut diterbitkan Syarikat Nusantara Gems usaha Pengasas Festival Fesyen Islam, Datuk Raja Rezza Shah.

“Permulaannya, 1,000 album akan diedar. Album ini bukan untuk dijual, tetapi sebagai album warisan yang akan diedarkan ke jabatan kerajaan, agensi pelancongan dan agensi berkaitan,” katanya.