Banduan 'mahu mati' jalani hukuman mati
Banduan 'mahu mati' jalani hukuman mati
PORTSMOUTH - Seorang banduan yang didapati bersalah atas dua kes bunuh di penjara dan mengancam untuk terus membunuh sehingga dia menerima hukuman mati, diisytihar menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.08 pagi waktu tempatan kelmarin, dengan menjalani hukuman mati di atas kerusi elektrik.

Hukuman tersebut merupakan pertama kali dilaksana di Virginia dalam tempoh tiga tahun ini.

Robert Charles Gleason Jr, memilih hukuman kejutan elektrik.

Dia ada pilihan untuk menjalani hukuman suntikan maut, kaedah yang biasa digunakan bagi hukuman mati di Amerika Syraikat.

Gleason sudah meringkuk dalam penjara kerana membunuh pada tahun 2007 dan juga kesalahan membunuh banduan satu penjara dengannya pada tahun 2009.

Kerusi oak merupakan kerusi elektrik yang sama digunakan untuk kejutan elektrik kali pertama digunakan pada tahun 1908.

Tetapi cara penggunaannya dikemas kini pada tahun 1991.

Gleason memberitahu pemberita dalam wawancara telefon yang dia sepatutnya mati di atas kesalahan yang dilakukan selama ini.

“Kematian tidak akan mengganggu saya, saya sudah lama fikirkan tentang ini (mati). Inilah karma yang terpaksa saya hadapi,” katanya.

Gleason berkata dirinya meminta hukuman itu bagi mengotakan janji kepada orang yang tersayang bahawa dia tidak akan membunuh lagi.

Ia juga sebagai satu pengajaran kepada dua orang anaknya supaya tidak mengikut jejak langkahnya.

“Saya tidak pernah menjalankan tanggungjawab saya sebagai bapa yang baik dan saya harap, di akhir hayat ini, saya boleh melakukan sesuatu yang baik.

“Mudah-mudahan, ini merupakan perkara baik yang saya lakukan,” katanya.