Saturday, January 19, 2013

‘Cikgu mat saleh’ gembira mengajar di Pahang

cikgu b.inggeris

KUANTAN – Seramai 16 sukarelawan dari Amerika Syarikat ditempatkan di 16 sekolah di Pahang bagi membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Aminuddin Adam berkata, melalui Program Pembantu Bahasa Inggeris (ETA), 16 sukarelawan itu bakal berada di sekolah yang ditetapkan selama sembilan bulan.

Katanya, 16 sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang 3, SMK Bera Bandar 32, SMK Teluk Chempedak, SMK Cenderawasih, SMK Benta, SMK Panglima Garang Abdul Samad, SMK Maran, SMK Maran 2, SMK Seri Pekan, SMK Dato’ Shahbandar Hussain, SMK Dong, SMK Pontian Jaya, SMK Bukit Damar, dan SMK Lanchang.

Turut dipilih, dua buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Cherok Paloh, dan SK Pontian.

“Saya berharap agar kehadiran sukarelawan antarabangsa ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pelajar dan kakitangan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Sukarelawan kepada Pengetua Sekolah yang terlibat, di sini, semalam.

Sementara itu, bagi Quentin Johnson, 22, dia begitu teruja kerana diberi peluang untuk menyertai program ini.

“Saya harap dapat menyesuaikan diri dengan penduduk di sini kerana telah belajar Bahasa Melayu, adat resam dan budaya semasa tempoh orientasi,” katanya.

Quentin yang ditempatkan di SMK Bera Bandar 32 berkata, dia akan menggunakan pendekatan yang menyeronokkan bagi menarik minat pelajar mempelajari Bahasa Inggeris.

Manakala bagi Lauren Parsons, 23, galakan daripada ibunya mendorong dia untuk datang ke Malaysia menyertai program ini.

“Saya sudah bersedia untuk menjalani program ini kerana sebelum ini saya pernah berkhidmat di Brazil dalam program yang hampir sama.

“Justeru, saya berharap dapat membantu pelajar SMK Teluk Chempedak menguasai Bahasa Inggeris menggunakan kemahiran yang saya ada,” katanya.

0 Komen: